Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

A Brunei Darussalam Government Website

Skin Color

Font Type

  • abc
  • abc
  • abc

Font Size

Negara perlu penghasil inovatif
January 25, 2017
Oleh Pg Fairol RMF
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Dalam usaha untuk menghasilkan sumbangan terhadap Ekonomi Digital Global, kita perlu berubah daripada menjadi pengguna teknologi kepada ‘penghasil’ inovatif yang mencipta teknologi-teknologi baru, harta intelek, produk dan peluang-peluang bagi pertumbuhan.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar berkata, untuk itu kita memerlukan penghasil perisian dan penghasil program tempatan yang berkemahiran tinggi.

Katanya, sumber utama penting Brunei adalah rakyatnya yang berpendidikan tinggi dan memahami bahawa teknologi adalah sama pentingnya seperti sektor minyak dan gas.

“Walau bagaimanapun, kita adalah pengguna terbesar teknologi dan produk. Oleh itu, kita perlu berubah daripada menjadi pengguna teknologi kepada ‘penghasil’ inovatif yang mencipta teknologi-teknologi baru,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pertandingan Hackathon B{CODE} kali pertama yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Anggerek Desa, hari ini.

Beliau yakin idea-idea kreatif jika diterjemahkan kepada teknologi-teknologi dan media bagi masa depan mempunyai potensi untuk mewujudkan penyelesaian bagi masa depan yang berdaya tahan dan efektif yang akan membantu negara kepada satu peralihan digital.

Tegasnya, idea yang baik dan berkesan perlu dijadikan pemangkin ke arah penggunaan teknologi-teknologi digital.

Justeru rakyat perlu lebih bersedia dan bersemangat untuk mencuba sesuatu yang baru dan mempunyai kelainan.

Yang Berhormat Pehin turut melahirkan harapan agar pertandingan Hackathon B{CODE} itu akan membantu para peserta mengembangkan kemahiran dan menjadi pemangkin untuk mereka menjadi penghasil program bertaraf dunia.

Pertandingan anjuran Pusat Kebangsaan E-Kerajaan dan Jabatan Tenaga dan Perindustrian dengan kerjasama Microsoft (Brunei) Sdn Bhd itu akan berjalan selama dua bulan hingga 8 Mac dan disertai seramai 155 orang peserta berkemahiran dalam bidang ICT yang akan menyelesaikan cabaran masalah-masalah yang dihadapi di Brunei Darussalam.

Sembilan topik masalah diberikan dan akan diselesaikan oleh para peserta iaitu Brunei Communication Hub, Crowdfunding, Intelligent Emergency Response, Talent Search Centre, Interactive/Dynamic Open Data Platform, Property Guide, Public Transportation, Local Tourism dan Brunei Fitness.

Mengulas mengenai pertandingan berkenaan, Yang Berhormat Pehin berkata, pertandingan berkenaan dibahagikan kepada dua bahagian diikuti dengan ‘App-a-thon.’

Bahagian pertama, jelas beliau, menyaksikan persaingan untuk menghasilkan idea terbaik, manakala itu, dalam bahagian kedua, idea tersebut dijadikan sebagai aplikasi mudah alih yang mampu menyalurkan penyelesaian sebenar.

“Saya ingin awda mengetahui peranan penting yang awda sertai dalam Hackathon hari ini membantu dalam perubahan Brunei Darussalam.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap akan terus terlibat dalam semua peserta yang terlibat, dan pada waktu yang sama memberi semua dengan platform kukuh untuk mempamerkan bakat dan kemahiran masing-masing,” ujar beliau.

Yang Berhormat Pehin juga berkata, dengan adanya idea kreatif, jika diterjemahkan menjadi teknologi dan media masa depan, mempunyai potensi yang membawa kepada kemapanan dan penyelesaian efektif yang boleh membantu perjalanan kepada era digital.

B{CODE} adalah Pertandingan Hackathon ICT kebangsaan kali pertama yang diadakan di Negara Brunei Darussalam di mana para peserta yang terdiri daripada kalangan innovator dan pemaju perisian (software developer) akan bergabung dan bekerjasama dalam menyelesaikan cabaran-cabaran yang dihadapi di Brunei pada masa ini.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan termasuk geran permulaan bernilai $20,000, sebulan mentor di Microsoft (Brunei) Sdn Bhd dan enam bulan akses kepada kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh iCentre.

Courtesy of Media Permata
Attachments
Contact Us With
Last Updated Since
March 13, 2024