Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

A Brunei Darussalam Government Website

Skin Color

Font Type

  • abc
  • abc
  • abc

Font Size

Dukung Transformasi Digital
MENTERI Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bersama Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi meninjau booth pameran daripada Talian Darussalam 123

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Othman

•    Minggu Teknologi Digital yang diadakan bermula 17 hingga 20 Jun 2021 ini mengetengahkan pelbagai acara berbentuk pameran, persidangan, dialog dan pertandingan yang memfokuskan kepada perkembangan dan potensi teknologi digital.

•    Perkhidmatan EGNC melalui Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 (RKN11), iaitu One Government Private Cloud 3 (OGPC3), National Centralized Database (NCDB) dan juga National Information Hub (NIH) dilancarkan.


BERAKAS, Khamis, 17 Jun. -
Acara Brunei Mid-Year Conference and Exhibition (MYCE) 2021 diteruskan lagi pada minggu ketiga dengan Pameran Minggu Teknologi Digital yang membawa tema ‘Negara Pintar melalui Transformasi Digital’ selaras dengan visi Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.   

Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Minggu Teknologi Digital yang diadakan bermula 17 hingga 20 Jun 2021 ini mengetengahkan pelbagai acara berbentuk pameran, persidangan, dialog dan pertandingan yang memfokuskan kepada perkembangan dan potensi teknologi digital.

Pameran Minggu Teknologi Digital disertai oleh 13 agensi dari sektor kerajaan dan swasta mempamerkan inisiatif dan produk yang mendukung transformasi digital. 

Antara peserta pameran adalah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Jabatan Perdana Menteri, Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Institut Perkhidmatan Awam, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Cyber Security Brunei (CSB), syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan digital termasuk DST Digital, Imagine Sdn. Bhd. dan Progresif Sdn. Bhd., IT Protective Security Services Sdn. Bhd. (ITPSS), Dynamik Technologies dan ASDS Sdn. Bhd. dan eSports Association.

Penyertaan AITI dalam Pameran Minggu Teknologi Digital menampilkan Pameran Pengalaman 5G yang merupakan salah satu usaha berterusan AITI dalam meningkatkan kesedaran mengenai impak ekonomi dari 5G dan peluang-peluang daripada pelbagai aplikasi 5G ke arah inovasi dan transformasi digital. Pameran ini yang mempunyai konsep rumah pintar (smart home) bagi meluaskan pengetahuan dan pengalaman mengenai bagaimana 5G boleh membantu dalam meraih manfaat-manfaat daripada transformasi digital melalui demonstrasi interaktif secara langsung.

Semasa mengunjungi pameran berkenaan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi melancarkan Pelan Strategik AITI 2020-2025. Pelan Strategik AITI ini bertujuan untuk mendukung usaha mencapai hasil-hasil strategik Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

Semasa pameran ini, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut melancarkan tiga perkhidmatan EGNC melalui Rancangan Kemajuan Negara Ke-11 (RKN11), iaitu One Government Private Cloud 3 (OGPC3), National Centralized Database (NCDB) dan juga National Information Hub (NIH).

Perkhidmatan OGPC3 merupakan projek yang melibatkan penambahan pada kapasiti berserta peningkatan teknologi Cloud Computing yang terkini untuk menampung keperluan daripada agensi-agensi kerajaan yang kian meningkat.

Manakala perkhidmatan National Centralised Database (NCDB) adalah perkhidmatan yang melengkapi perkhidmatan infrastruktur Cloud yang akan memberikan perkhidmatan infrastruktur ‘database’ secara pusat yang dikenali sebagai Database as a Service untuk kegunaan jabatan-jabatan atau kementerian-kementerian yang memerlukan perkhidmatan perisian ‘database’.

Dengan adanya NCDB, perkhidmatan ini membolehkan EGNC membekalkan perkhidmatan platform NIH bagi penyimpanan data umum seperti nama, alamat, nombor kad pintar dan sebagainya. Ini akan memudahkan perkongsian data integrasi di antara sistem-sistem aplikasi kerajaan.

Di samping itu, EGNC juga turut mempamerkan muka baharu Laman Sesawang ‘www.gov.bn’ di mana antara lain ciri-ciri baru yang diperkenalkan ialah e-Participation yang membolehkan orang ramai untuk menyuarakan pendapat secara dalam talian melalui tinjauan, kajian audiens serta kolaborasi secara digital.

Minggu Teknologi Digital dianjurkan bersama oleh MTIC, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan InfoCom Federation Brunei (IFB) dan disokong oleh EGNC, AITI, CSB, ITPSS dan Dynamik Technologies Sdn. Bhd. 


Ihsan daripada Pelita Brunei

Attachments
Contact Us With
Last Updated Since
March 13, 2024