Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

A Brunei Darussalam Government Website

Skin Color

Font Type

  • abc
  • abc
  • abc

Font Size

Transformasi digital dorong pertumbuhan sosioekonomi
LEGCO 2021

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Bagi mendukung tema belanjawan pada tahun ini iaitu ‘Ke Arah Pembangunan Sosioekonomi yang Resilien’, beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dipandu oleh tiga dasar strategik utama yang telah dilancarkan pada tahun 2020 iaitu Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 di bawah Majlis Ekonomi Digital, Pelan Strategik MTIC 2025 dan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bagi Negara Brunei Darussalam 2025.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof menjelaskan, di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang merupakan dasar utama untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Pintar serta mendorong dan meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi negara melalui transformasi digital, ia adalah berteraskan kepada tindakan bersepadu antara agensi-agensi kerajaan, industri dan masyarakat umum.

Sebagai asas kepada transformasi digital, beberapa inisiatif telah dan akan dilaksanakan, antaranya projek Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) iaitu National Centralised Database (NCDB) di bawah RKN11 dengan peruntukan sebanyak $8.9 juta. Terkandung di bawah projek berkenaan adalah National Information Hub bagi penyediaan platform perkongsian data yang selamat dan terjamin.

Selain itu juga adalah inisiatif pemusatan pembiayaan lesen-lesen komputer yang digunakan oleh kementerian-kementerian.

Dengan peruntukan sebanyak $8.2 juta di bawah EGNC, pembayaran lesen secara berpusat itu menyumbang kepada penggunaan sumber secara optima dan berhemah.

MTIC juga meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan kepada orang ramai secara dalam talian dan melalui aplikasi mudah alih serta memperbaiki proses-proses dalaman.

“Pada masa yang sama, infrastruktur telekomunikasi di negara ini terus dinaiktaraf.

Alhamdulillah, usaha ini telah membawa Negara Brunei Darussalam ke tangga kedua di kalangan negara-negara ahli ASEAN dari segi Telecommunications Infrastructure Index seperti yang direkodkan dalam Laporan United Nations E-Government Survey, 2020,” jelas Yang Berhormat Dato.

Bertepatan dengan kemajuan tersebut, beliau mengongsikan bahawa setakat ini sebanyak 983 buah menara telekomunikasi telah diaktifkan bagi memberikan liputan perkhidmatan rangkaian yang meluas.

“MTIC juga memberi perhatian kepada keperluan liputan di kawasan pedalaman.
Projek Menara Luar Bandar di bawah RKN11 dengan peruntukan sebanyak $3 juta, akan melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Sukang, Kampung Melilas dan Kampung Apak-Apak, Belait serta Kampung Long Mayan di Daerah Tutong,” kongsi beliau.

Dalam Mukadimah MTIC pada hari ke-9 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat Dato juga menyentuh mengenai pembentukan persekitaran digital yang selamat.

Bagi memantapkan urus tadbir dalam transformasi digital, beliau berkata, MTIC sedang menyediakan dua rangka perundangan utama, iaitu Cyber Security Order yang memfokuskan kepada tindakan dalam menangani ancaman dan insiden keselamatan siber dan Personal Data Protection Order yang bertujuan untuk memelihara penggunaan, pengumpulan dan pendedahan data peribadi oleh sektor swasta.

“Rangka perundangan ini sedang diteliti dan akan melibatkan konsultasi dengan berbagai pihak yang berkepentingan,” jelasnya lagi.

Menyentuh mengenai sektor pengangkutan, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menjelaskan bahawa penggunaan teknologi diterapkan dalam projek menaik taraf dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan bas awam.

“Ke arah ini, Public Transport Information System telah pun diusahakan bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Pihak Berkuasa Industri Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) dan syarikat-syarikat pengangkutan bas awam.

“Usaha ini bertujuan untuk menyediakan maklumat secara real-time dengan sasaran pelaksanaannya pada suku ketiga tahun 2021 ini,” jelasnya.

Selaras dengan visi Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam 2025 iaitu Sifar Kemalangan Maut Jalan Raya Menjelang 2025, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa jumlah kemalangan di Brunei Darussalam menunjukkan trend penurunan sebanyak 67 peratus dari tahun 2015 hingga 2020.

Untuk mengekalkan trend tersebut, melalui Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), kempen-kempen kesedaran terus dijalankan termasuk Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya pada awal Mac 2021 yang mengetengahkan pelancaran e-buku Understanding Your Vehicle, katanya.

Selain itu, MTIC akan menjalankan dua projek rintis dengan kerjasama pelbagai pihak di negara ini pada tahun ini iaitu Projek Rintis Kenderaan Elektrik (EV) yang bakal dilancarkan pada 25 Mac ini, untuk menilai persediaan bagi peralihan daripada kenderaan konvensional kepada kenderaan elektrik ataupun alternatif sebagai usaha mengurangkan jejak karbon di negara ini.

Manakala itu, Projek Rintis Teknologi 5G akan dilancarkan pada April depan bagi meneroka potensi dan pelaksanaan teknologi 5G, di mana beberapa lokasi telah dikenal pasti untuk memaparkan kemampuan teknologi 5G melalui 5G use-cases yang boleh dimanfaatkan ke arah inovasi dan transformasi digital di negara ini.

“Insya-Allah, projek-projek serta inisiatif-inisiatif yang mendokong ke arah pertumbuhan ekonomi negara akan dilaksanakan melalui peruntukan perbelanjaan biasa dan perbelanjaan kemajuan yang disokong untuk Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) sebanyak $143,754,979 bagi Tahun Kewangan 2021/2022,” kata Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.


Ihsan daripada Media Permata

Attachments
Contact Us With
Last Updated Since
March 9, 2024