Tinjau peranan, perkhidmatan EGNC | | GADONG, Isnin, 14 Disember. -
Rombongan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) mengadakan Lawatan
Kerja ke Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (E-Government National
Centre-EGNC), hari ini, di sini. Lawatan
Kerja Yang Berhormat Ahli-ahli MMN ke EGNC bertujuan adalah untuk
melihat dengan lebih dekat lagi perkhidmatan-perkhidmatan yang
ditawarkan oleh pusat berkenaan sebagai persediaan bagi Sesi Muzakarah
Yang Berhormat Ahli-ahli MMN dengan Kementerian Pengangkutan dan
Infokomunikasi (MTIC) pada awal tahun depan nanti.
Semasa
lawatan tersebut, Yang Berhormat Ahli-ahli MMN berkesempatan untuk
mengetahui lebih dekat mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang tersedia
di pusat berkenaan, antaranya Pusat Data E-Kerajaan (Data Centre),
menyediakan ruang khusus bagi penempatan fizikal sistem-sistem komputer
dan komponen-komponen yang berkaitan dengan projek E-Kerajaan secara
pusat.
Pusat
Data ini juga dilengkapi dengan fasiliti-fasiliti seperti kawalan
sekuriti fizikal yang ketat, Uninterruptible Power Supply (UPS), sistem
pendingin dan sistem pemadam kebakaran.
One
Government Private Cloud (OGPC) iaitu perkhidmatan yang menggunakan
teknologi 'virtualization' khusus untuk projek-projek E-Kerajaan.
Setakat bulan November 2020, sebanyak 59 projek IT bersamaan 416 mesin
maya (virtual machines) ditempatkan di dalam prasarana OGPC secara
'consolidated' dan 'centralized'.
Selain
itu, pusat berkenaan juga menyediakan perkhidmatan One Government
Network (OGN) iaitu infrastruktur rangkaian satu kerajaan yang khusus
dan selamat menghubungkan agensi-agensi kerajaan di seluruh negara
kepada perkhidmatan-perkhidmatan e-Kerajaan yang berintegrasi serta
perkhidmatan internet yang dikawal melalui 'central gateway' di EGNC.
Setakat bulan November 2020, perkhidmatan ini menghubungkan sebanyak 931 tapak di seluruh negara.
Seterusnya,
National Centralised Database (NCDB) menawarkan perkhidmatan 'Database
as a Service' iaitu perkhidmatan yang akan menyediakan infrastruktur
pangkalan data bagi penempatan semua 'database' dari projek-projek
Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-11 dan projek-projek yang memerlukan
penambahbaikan atau Technology Refresh.
Dengan
adanya perkhidmatan ini, ia dijangka akan memberikan impak yang besar
dari segi kos pembelian perisian dan pemeliharaan yang lebih ekonomi dan
efisien dibandingkan pembelian perisian secara 'silo'.
Selain
itu, Brunei Open Data (data.gov.bn), Portal 'data.gov.bn' diperkenalkan
bagi menyokong inisiatif 'Open Data' di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Perkhidmatan
ini membolehkan agensi-agensi kerajaan untuk berkongsi maklumat yang
tidak sensitif dengan orang ramai, memudahkan agensi-agensi untuk
mengakses data atau dimuat turun oleh pihak yang memerlukan secara
percuma dalam talian.
Di
samping itu, pihak EGNC juga sedang melaksanakan projek The National
Information Hub (NIH) yang menyediakan platform pengintegrasian maklumat
antara jabatan-jabatan kerajaan dalam mendukung inisiatif perkongsian
maklumat.
Melalui
projek ini, maklumat 'common data' dan 'uncommon data' boleh diperoleh
daripada sumber yang dipercayai serta dapat mendukung 'backend system'
jabatan-jabatan kerajaan atau agensi yang memerlukan.
Selanjutnya,
Perkhidmatan Talian Darussalam 123 iaitu Pusat Panggilan Kebangsaan
bagi NBD yang beroperasi 24 jam sehari bagi mendukung
perkhidmatan-perkhidmatan berbentuk bukan kecemasan (non-emergency) di
agensi-agensi kerajaan. Sehingga bulan November 2020, Talian Darussalam
123 mendukung sebanyak 320 perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan.
Manakala
bagi Portal GOV.BN (www.gov.bn) di mana sebanyak 129 e-Perkhidmatan
diperkenalkan daripada 34 sistem e-kerajaan boleh di akses melalui
portal GOV.BN.
Orang
ramai juga boleh mendaftar akaun e-Darussalam secara dalam talian
melalui portal ini. Sehingga bulan November 2020, jumlah pendaftaran
akaun e-Darussalam meningkat dari tahun sebelumnya di mana mencapai
156,221 pengguna yang mendaftar akaun e-Darussalam. Selain itu, terdapat
20 aplikasi mudah alih (mobile apps) kerajaan juga boleh diakses dan
dimuat turun melalui portal ini.
EGNC
ditubuhkan pada 1 April 2008 dan merupakan jabatan di bawah MTIC. Pusat
ini juga memberikan perkhidmatan-perkhidmatan pemerolehan dan sumber
tenaga manusia dalam bidang IT yang berkaitan dengan inisiatif
e-Kerajaan.
Sehingga
bulan November 2020, jumlah kakitangan di jabatan berkenaan ada seramai
416 pegawai dan kakitangan jabatan ini di mana 254 pegawai dan
kakitangan diperbantukan ke kementerian-kementerian, institusi-institusi
pengajian tinggi dan jabatan-jabatan yang berkaitan dalam melaksanakan
inisiatif-inisiatif e-Kerajaan.
Ihsan daripada Pelita Brunei
| Attachments |
|
|