Khamis, 16 Julai 2026 – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-80, pada hari ini bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB). Majlis keagamaan ini dikelolakan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC).
Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta kakitangan MTIC bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin dan Doa Kesyukuran, diikuti dengan Sembahyang Fardu Zohor secara berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Imam Haji Mohammad Asyraf bin Haji Bujang, Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Warga kementerian sukacita menzahirkan tanda rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ke-80, di samping merafakkan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, taufiq, hidayah dan inayah serta kekal berada di bawah lindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala. Doa turut dipanjatkan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta seluruh kerabat diraja sentiasa dikurniakan kesejahteraan, keselamatan dan keberkatan.
Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia kekal qarar memerintah di atas takhta singgahsana kerajaan serta terus memimpin Negara Brunei Darussalam dengan penuh hikmah, kedaulatan, keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan.
#EGNC