Program Sua Muka Mendekati Masyarakat, Menyampaikan Dasar Kerajaan
Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Komunikasi Strategik hari ini mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Tanjong Maya / Kampung Lubok Pulau dan Kampung Bukit Udal / Kampung Penapar, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong, bertempat di Dewan Kemasyarakatan Tanjong Maya, Daerah Tutong.
Program Sua Muka merupakan antara inisiatif berterusan jabatan dalam menyampaikan maklumat terkini mengenai isu-isu semasa serta dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat setempat, di samping menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.
Program juga diisikan dengan penyampaian maklumat kepada penduduk-penduduk kampung daripada Jabatan Penerangan mengenai ‘Penyebaran Maklumat Palsu’ dan taklimat daripada Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran mengenai ‘Tenaga yang boleh diperbaharui (Renewable energy)’, dan taklimat dari Pusat Kebangsaan e-Kerajaan mengenai ‘BruneiID’.
Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan prasarana, keselamatan dan kemudahan awam.